YAM CHE’ PUAN BESAR KHALEEDA BUSTAMAM

YANG AMAT MULIA CHE’ PUAN BESAR KHALEEDA BUSTAMAM

D.K., S.P.M.J.

YM Che’ Puan Besar Khaleeda yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur merupakan anakanda yang kelima pasangan ayahanda Bustamam Bin Daud dan bonda Aziyah Binti Abdul Aziz. YM Che’ Puan Besar Khaleeda adalah anak bongsu daripada lima orang adik-beradik iaitu tiga orang perempuan dan dua orang lelaki.

YM Che’ Puan Besar Khaleeda menerima asuhan pelajaran awalan di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak Selangor pada tahun 2001 hingga 2003. Semasa kecil lagi perwatakan, kecergasan dan kecenderungan beliau telah terserlah dengan perlantikannya sebagai seorang pengawas di sekolah tersebut. YM Che’ Puan Besar Khaleeda mengambil bahagian aktif dalam sukan khasnya sukan larian. Kecenderungannya dalam aktiviti tarian membolehkan YM Che’ Puan Besar Khaleeda mewakili sekolahnya dalam seni tari.

Ketika ibunya berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom di Jabatan Penuntut Malaysia UK dan Eire, YM Che’ Puan Besar Khaleeda meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George’s Hanover Square, London dari Disember 2003 hingga Julai 2004. Setelah tamat pendidikan peringkat rendah, YM Che’ Puan Besar Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London dari September 2004 hingga Julai 2008. Di sekolah itulah kecenderungan YM Che’ Puan Besar Khaleeda dalam bidang sukan olahraga diteruskan disamping penglibatannya dalam seni muzik khasnya ‘drums‘ dan ‘keyboard‘. Selain itu, YM Che’ Puan Besar Khaleeda turut membantu bahagian perpustakaan sekolah dalam pemprosesan buku-buku dan terbitan terbaru.

Sekembalinya ke tanah air pada Januari 2009, YM Che’ Puan Besar Khaleeda menyambung pelajarannya di Sekolah Sri Utama Kuala Lumpur sehingga lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Disember 2010. Kecendurangannya dalam bidang sukan tidak berkurangan dan diteruskan semasa di sekolah tersebut.

Berkat pendidikan dan pergaulan dalam dan luar negeri, YM Che’ Puan Besar Khaleeda fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta sedikit sebanyak bahasa Sepanyol, semuanya menambah kepada perwatakan YM Che’ Puan Besar Khaleeda yang sedia kala peramah.

Antara kecenderungan YM Che’ Puan Besar Khaleeda ialah membaca untuk menambah pengetahuan. Untuk aktiviti riadah, YM Che’ Puan Besar Khaleeda menyertai sukan bola sepak, badminton, bola jaring dan bowling. 

YM Che’ Puan Besar Khaleeda telah mendirikan rumahtangga dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor  pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014 dan dikurniakan dengan empat anakanda. 

© DYAM Tunku Mahkota Johor. Hakcipta Terpelihara.