Skip to main content

YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor

YANG AMAT MULIA CHE’ PUAN MAHKOTA KHALEEDA JOHOR

D.K., S.P.M.J.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur serta merupakan anakanda yang kelima pasangan ayahanda Bustamam Bin Daud dan bonda Aziyah Binti Abdul Aziz. Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor adalah anak bongsu daripada lima orang adik-beradik iaitu tiga orang perempuan dan dua orang lelaki.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menerima asuhan pelajaran awalan di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak Selangor pada tahun 2001 hingga 2003. Semasa kecil lagi perwatakan, kecergasan dan kecenderungan beliau telah terserlah dengan pelantikannya sebagai seorang pengawas di sekolah tersebut. Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor mengambil bahagian secara aktif dalam sukan khususnya sukan olahraga. Kecenderungannya dalam bidang tarian membolehkan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor mewakili sekolahnya dalam seni tarian.

Ketika ibunya berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom di Jabatan Penuntut Malaysia UK dan Eire, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George’s Hanover Square, London dari Disember 2003 hingga Julai 2004. Setelah tamat pendidikan peringkat rendah, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor melanjutkan pengajian menengah di Westminster Academy London dari September 2004 hingga Julai 2008. Di sekolah itulah kecenderungan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dalam bidang sukan olahraga diteruskan di samping penglibatannya dalam seni muzik khususnya bermain dram dan keyboard. Selain itu, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor turut membantu bahagian perpustakaan sekolah dalam pemprosesan buku-buku dan terbitan terbaru.

Sekembalinya ke tanah air pada Januari 2009, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menyambung pelajarannya di Sekolah Sri Utama Kuala Lumpur sehingga lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Disember 2010. Kecendurungannya dalam bidang sukan masih diteruskan sewaktu di sekolah tersebut.

Berkat pendidikan dan pergaulan dalam dan luar negeri, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta sedikit sebanyak menguasai bahasa Sepanyol, sekali gus memberi nilai tambah kepada perwatakan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang sememangnya peramah.

Antara kecenderungan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor adalah membaca untuk menambah pengetahuan beliau. Untuk aktiviti riadah, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menyertai sukan bola sepak, badminton, bola jaring dan boling.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor telah mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014 dan dikurniakan dengan empat anakanda.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.