DYAM Tunku Mahkota Johor

DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR

DULI  YANG AMAT MULIA TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM

D.K., S.P.M.J, S.S.I.J, P.I.S

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung daripada enam orang adik-beradik kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore. Pada tahun 1999, Duli Yang Amat Mulia Tunku melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia sehingga akhir tahun 2002.

Sebagai bakal Raja, pendidikan dan disiplin yang tinggi amat dititikberatkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail. Dengan titah perkenan Seri Paduka nendanya Almarhum Sultan Iskandar, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A), Dehradun, India pada 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004 dan telah ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 hingga 14 Disember 2006. Kehebatan Duli Yang Amat Mulia berkuda terbukti jelas apabila Duli Yang Amat Mulia Tunku dianugerahi ‘Best In Riding‘ yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A).

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J. Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007. Majlis ini dihadiri ramai tetamu kenamaan termasuk Presiden Russia, Vladamir Putin. Pada 14 Julai hingga 23 September 2008, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing dan pada 9 Oktober hingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK). Pada 1 Ogos 2010, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dianugerahi Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.

Antara sukan kegemaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ialah polo dan bola sepak. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam sukan polo amat terserlah. Kini DYAM Tunku Mahkota Johor bergiat aktif dalam bidang bola sepak. Selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam bidang bola sepak semakin menyerlah apabila dilantik Presiden FAM pada tahun 2017.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah mendirikan rumahtangga dengan Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014. Pasangan diraja ini telah dikurniakan  anakanda sulung baginda berdua dan puteri sulung, diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Khalsom Aminah Sofiah yang diputerakan pada 25 Jun 2016. Anakanda kedua baginda berdua dan putera sulung diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim yang diputerakan pada 14 Oktober 2017. Anakanda ketiga dan putera kedua diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar Ibrahim yang diputerakan pada 17 Julai 2019. Anakanda keempat dan puteri kedua diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Zahrah Zarith Aziyah yang diputerakan pada 21 April 2021.

© DYAM Tunku Mahkota Johor. Hakcipta Terpelihara.