TAHNIAH KEPADA BARISAN EXCO NEGERI YANG BARU DILANTIK
By Admin
Tahniah saya ucapkan kepada para EXCO yang telah dilantik pada hari ini. Saya yakin bahawa barisan EXCO negeri yang baru ini berpelajaran dan berkelayakan untuk mentadbir kerajaan negeri dengan dedikasi dan integriti.
Barisan EXCO ini juga mempunyai perwakilan dari golongan belia dan menunjukkan bahawa kerajaan negeri ingin melibatkan golongan muda untuk menggalakkan pentadbiran negeri yang lebih dinamik. Kepada para belia, kini sudah tiba masa untuk anda semua bangkit dan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan Johor.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pemilihan barisan EXCO yang inklusif, dengan lantikan dari golongan belia dan 2 orang wanita. Dengan ini, kita telah mengambil langkah ke depan demi memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir.
Sebagai nasihat kepada para EXCO yang baru sahaja dilantik, ada tiga aspek yang perlu diutamakan untuk Bangsa Johor, iaitu pendidikan, ekonomi, dan kesihatan. Memandangkan kesan negatif susulan pandemik Covid-19 ini terhadap seluruh dunia, kerajaan negeri perlu menumpukan kepada pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negeri Johor.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
