Skip to main content

DIPLOMASI DIRAJA: PRESIDEN PUTIN SAMBUT SULTAN IBRAHIM DI MUZIUM IKONIK HERMITAGE

Admin
Januari 27, 2026

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disambut mesra Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia di Muzium Hermitage, St Petersburg pada hari ini (26 Januari).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Muzium Hermitage, antara yang berprestij di dunia mencerminkan penghormatan tinggi kerajaan Persekutuan Rusia terhadap hubungan persahabatan kedua-dua pemimpin.

Muzium yang ditubuhkan pada tahun 1755 merupakan antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, dengan menempatkan koleksi lebih tiga juta karya seni dan artifak.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa dengan diiringi Presiden Putin meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan.

Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah di atas jemputan khas Presiden Putin, sekali gus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.

Pada Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow bagi mengadakan Lawatan Negara dan melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada tahun lalu.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.