Skip to main content

HOSPITAL PASIR GUDANG, GAJI MINIMA RM4,000 UNTUK PEKERJA DI JS-SEZ DAN BEKALAN AIR YANG MENCUKUPI

Admin
Julai 08, 2025

Berkenaan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang dijadualkan akan mula beroperasi tidak lama lagi, saya ingin menitahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tindakan segera dapat diambil untuk menempatkan petugas kesihatan agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan Bangsa Johor. Saya juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan.

Dalam pada itu, bagi kemasukan pelaburan baharu ke negeri Johor selepas ini, saya ingin menasihatkan agar syarikat-syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima sebanyak RM4,000.00 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menjamin kesejahteraan tenaga kerja serta menarik bakat bernilai tinggi. Syarikat-syarikat sedia ada juga digalakkan untuk meneliti semula struktur gaji dan mempertimbangkan kenaikan gaji minima buat para pekerja tempatan mereka di Johor. Saya turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar satu dasar atau hala tuju jelas dapat disediakan bagi memastikan isu ‘brain drain’ di Johor dapat diatasi.

Sementara itu, dalam menangani isu bekalan air pula, Johor menghargai kelulusan projek infrastruktur bekalan air baharu berjumlah RM991 juta dengan kapasiti 260 juta liter sehari (JLH) oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dimuktamadkan melalui Project Execution Letter (PEL) bertarikh 7 Julai 2025. Projek berkenaan akan memperkukuh keupayaan sistem agihan air terawat khususnya di kawasan JS-SEZ.

Sebagai tambahan, Johor juga mensasarkan pembinaan infrastruktur air mentah sebanyak 2,000JLH yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri sehingga tahun 2060. Ini termasuklah Projek TAPS Sg. Johor dengan kapasiti 200JLH, Projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sg. Sedili dengan kapasiti 600JLH serta Projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sg. Pontian dengan kapasiti 100JLH yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam RMK-12. Langkah ini dijangka berupaya menyokong keperluan air bagi sektor perindustrian, komersial dan domestik bagi jangka masa sederhana dan panjang. Justeru, para pelabur baharu tidak perlu bimbang tentang sebarang gangguan bekalan air pada masa hadapan.

Kesejahteraan Bangsa Johor adalah keutamaan buat saya. Keutamaan ini tidak akan saya abaikan dan saya akan terus bersuara agar suara Bangsa Johor tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk pentadbiran dan prosedur. Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh setiap rakyat, tanpa perlu menunggu lama dan tanpa perlu rasa terabai.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.