ISTIADAT LETAK KERJA PERMULAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN SULTAN JOHOR
By Admin
Upacara sambutan ulang tahun keputeraan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bermula secara rasminya hari ini (15 November) dengan berlangsungnya Istiadat Letak Kerja di Istana Besar, Johor Bahru.
Istiadat disempurnakan dengan menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor pada jam 9.00 pagi.
Istiadat bermula dengan perarakan membawa masuk bendera ke Tugu Peringatan Istana Besar oleh 10 anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) Johor, disusuli upacara mengikat bendera.
Upacara menaikkan bendera didahului dengan bacaan doa oleh Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Johor dan diikuti satu pengisytiharan istiadat oleh Dato’ Ismail Karim, Dato’ Penghulu Istiadat.
Dalam pengisytiharan itu, Dato’ Ismail memaklumkan bendera akan berkibar sepanjang sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor.
Istiadat Letak Kerja turut diiringi pasukan pancaragam dan pelepasan tujuh das tembakan meriam oleh ATSN.
Upacara istiadat itu turut dihadiri Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Dato’ Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor serta barisan tertinggi kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor dan ketua-ketua jabatan.
Kali terakhir Istiadat Letak Kerja diadakan pada Mac 2019.