Skip to main content

KEADAAN PUSAT KUARANTIN DI HOSPITAL SULTAN ISMAIL, JOHOR BAHRU

admin
Ogos 15, 2021

Saya telah mengadakan perjumpaan hari ini bersama YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan, EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Pengarah JKNJ, YBhg Dato’ Prof. Adeeba Kamarulzaman dan Dr. Dhesi Baha Raja susulan paparan media sosial viral mengenai keadaan pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Hasil daripada perjumpaan ini, saya telah menitahkan agar pengurusan situasi Covid-19 ditambahbaik dan penyumberan luar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam dimulakan secara berperingkat. Pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Sultan Ismail akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah akan dipindahkan ke Hospital KPJ. YAB Menteri Besar Johor juga telah mengumumkan penambahan katil di wad Covid-19 Hospital Sultan Ismail dan kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma akan ditambah baik.

Satu inisiatif baru, IPA-C (INISIATIF PEMIMPIN ADVOKASI COVID-19) akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan. Objektif inisiatif ini adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dengan mengutamakan  konsep tanggungjawab Collective Responsibility dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep RISK Communication yang berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan memperkukuhkan usaha-usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.

Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi-agensi dan pihak berkuasa agar proses vaksinasi dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke PPV. Selain daripada mempercepatkan proses vaksinasi, kita juga perlu beri tumpuan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaiknya.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.