Skip to main content

KELUARGA DIRAJA JOHOR SUMBANG LEBIH RM123 JUTA SEPANJANG TEMPOH PANDEMIK COVID-19

Admin
Julai 05, 2023

YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkata sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sahaja, Keluarga DiRaja Johor menyumbang lebih RM123 juta merangkumi pelbagai jenis sumbangan membantu seramai 1.6 juta Bangsa Johor mendepani cabaran sewaktu pandemik berkenaan.

Datuk Onn Hafiz berkata, malah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sanggup mengambil risiko dengan menitahkan pegawai-pegawai Istana Johor turun ke kelapangan bagi menghulurkan bantuan berupa kit dan peralatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

“Tidak cukup dengan itu, Keluarga DiRaja Johor sentiasa di hadapan di dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan selain memperjuangkan serta melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.

“Di atas sifat ihsan dan kasih DYMM Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor maka lahirlah simbiosis erat di antara Istana dengan rakyat jelata,” katanya.

Datuk Onn Hafiz berkata demikian semasa berucap pada majlis penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor, pelancaran buku dan portal Kesultanan Johor.

Majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), Johor Bahru pada 5 Julai 2023.

Datuk Onn Hafiz turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas kurniaan peribadi dan bantuan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada seluruh Bangsa Johor.

“Patik juga merafak sembah setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Permaisuri Johor yang berkenan mengurniakan sumbangan kepada Bangsa Johor secara peribadi dan bantuan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

“Patik juga ingin merafak sembah setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor di atas kurniaan sumbangan peribadi Baginda kepada Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata, inilah gemilang dan terbilangnya Keluarga DiRaja Johor, sejak dahulu lagi.

“Kepimpinan seperti ini sudah sebati dalam naluri dan menjadi denyut nadi sejak pemerintahan Kesultanan Johor Moden kerana itu adalah Johor dan Johor Mesti Jadi Johor,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Datuk Onn Hafiz turut menyampaikan dana daripada Kerajaan Negeri kepada setiap Yayasan Diraja Johor.

Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menerima dana sebanyak RM3 juta, dan masing-masing RM1 juta melibatkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Yayasan Sultanah Rogayah dan Yayasan Sultanah Fatimah.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.