Skip to main content

KEMUDAHAN KORPORAT BAHARU DAN ‘RED & BLUE LOUNGE’ DI STADIUM SULTAN IBRAHIM SIAP UNTUK MUSIM 2025-26

Admin
Julai 28, 2025

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berangkat ke Stadium Sultan Ibrahim pada hari ini, 28 Julai 2025 bagi memeriksa dan memantau kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan di ‘Home of the Southern Tigers’ menjelang musim 2025-26, termasuk kemudahan fasiliti korporat baharu, padang baharu dan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan sekitarnya.

Hadir sama adalah YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor.

Sebanyak 12 bilik korporat baharu dan dua ruang hospitaliti premium baharu — ‘Red & Blue Lounge’ — akan mula beroperasi sepenuhnya di Stadium Sultan Ibrahim apabila musim 2025-26 bermula pada 8 Ogos 2025.

Kemudahan fasiliti baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha kelab untuk menambah baik apa yang terdapat di Stadium Sultan Ibrahim serta meningkatkan hasil pendapatan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Setiap bilik korporat mampu memuatkan kumpulan sehingga 20 tetamu manakala ‘lounge’ pula menawarkan pengalaman hospitaliti premium kepada penyokong, termasuk sajian makanan dan minuman semasa perlawanan berlangsung di ‘Home of the Southern Tigers’. Maklumat lanjut dan harga bagi penggunaan jangka panjang dan jangka pendek akan diumumkan tidak lama lagi. Allah Peliharakan Sultan.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.