Skip to main content

KENYATAAN FIFPRO BERHUBUNG TUJUH PEMAIN WARISAN MALAYSIA

Admin
Disember 02, 2025

FIFPRO mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA berhubung tujuh pemain yang memohon kelayakan untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka — penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak — adalah sangat tidak seimbang dengan keadaan sebenar kes tersebut.

Jelas bahawa para pemain sebenarnya adalah mangsa dalam hal ini. Keputusan itu sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, dan turut mengakui bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah asli. Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu.

Para pemain juga tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA berhubung kelayakan mereka secara individu, satu prosedur yang sebenarnya tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa. Oleh itu, amat membimbangkan apabila mereka dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan bola sepak kepada FIFA – sedangkan mereka tidak pernah mengeluarkan atau menyerahkan dokumen tersebut.

Tujuh pemain ini telah mengikut segala prosedur yang ditetapkan: mereka menghantar dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan, dan menunggu kelulusan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Semua langkah ini ditangani oleh institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing dan akibat serius yang bakal menyusul, tanpa sebarang kesalahan daripada pihak mereka sendiri.

FIFPRO menyatakan sokongan penuh kepada para pemain tersebut dan percaya bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan ini.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.