Skip to main content

MELAWAT TAPAK HOSPITAL PASIR GUDANG

Admin
Mac 25, 2024

“Menjadi seorang pemimpin bukan tentang kehadiran atau penampilan tetapi tentang memastikan masalah rakyat diselesaikan. Fokus utama saya adalah untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan Johor dan pembangunan infrastruktur dijalankan serta menyelesaikan keperluan rakyat.”

“Saya sudah bersuara mengenai situasi hospital di Johor sejak 2018. Semasa kerajaan tidak memberi dana untuk membaiki kerosakan hospital di Johor, KDYMM Tuanku telah memberi sumbangan peribadi Baginda untuk membaiki fasiliti yang terbakar dan rosak.”

“Saya ingin melihat hospital-hospital ini dibina tepat pada masanya dan beroperasi secepat mungkin untuk memberi perkhidmatan kepada Bangsa Johor,” titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini (25 Mac).

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah demikian semasa lawatan ke tapak Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru pada hari ini.

Hadir sama adalah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

Dalam sesi lawatan ini, Baginda dipersembahkan dengan Perbentangan Projek Hospital Sultanah Aminah II Johor Bahru dan Perbentangan Projek Hospital Pasir Gudang secara terperinci. Baginda turut meluangkan masa berangkat ke ruangan model bangunan Hospital Pasir Gudang.

Kedua-dua hospital baharu ini yang bakal dibina adalah sangat penting untuk memberi kemudahan perubatan yang lebih baik kepada Bangsa Johor pada masa akan datang serta membantu menampung jumlah pesakit di hospital-hospital sedia ada di negeri ini.

Allah Peliharakan Sultan.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.