Skip to main content

PERJUMPAAN DENGAN DATUK BANDAR JOHOR BAHRU DAN PAKAR PENGURUSAN AIR DAN SISTEM SALIRAN

Admin
Januari 12, 2022

Hari ini saya telah mengadakan perjumpaan dengan Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru dan pakar-pakar pengurusan air dan sistem saliran air. Mereka telah memberi taklimat mengenai inisiatif dan usaha-usaha untuk membaiki penebatan banjir di Johor.

Perjumpaan ini diadakan ekoran bencana banjir yang melanda Johor sejak akhir tahun lepas sehingga kini. Bencana banjir ini merupakan masalah yang berlaku hampir setiap tahun. Walaupun ada penambahbaikan dalam usaha tebatan banjir sejak peristiwa tahun 2006, tetapi saya berhasrat untuk mencari penyelesaian tetap kepada masalah banjir di Johor.

Antaranya yang penting adalah sistem saliran dan perparitan yang mampu menampung kapasiti air hujan yang tinggi, pengurusan sungai yang efektif dan kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi bencana.

Saya tetap berpendapat bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Pada bulan Februari depan saya juga akan menganjurkan program pembersihan sungai di Johor dan juga inisiatif serta program khas untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan sungai-sungai kita.

DYMM Sultan Johor dan sekeluarga akan terus berusaha bersama pihak kerajaan dalam mencari penyelesaian tetap agar rakyat Johor tidak perlu berdepan dengan bencana banjir lagi.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.