Skip to main content

PERTEMUAN DENGAN MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT BERKENAAN ISU SEPERTI KES BELLA

Admin
April 19, 2022

Saya telah mengadakan pertemuan dengan YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Amanda Bissex, Wakil UNICEF ke Malaysia dan YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor pada hari ini di Royal Johor Polo Club.

Dalam pertemuan tersebut, saya telah mencadangkan 3 langkah penting yang perlu dilakukan bagi memastikan kes-kes seperti kes Bella tidak berulang:

1. Pindaan Perundangan: Penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera. Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

2. Penguatkuasaan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta. Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha/pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

3. Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain. Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Allah Peliharakan Sultan

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.