Skip to main content

PROGRAM JEJAK KASIH DAN PENYAMPAIAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DI MUKIM SEDILI KECIL, MUKIM PANTAI TIMUR, DAN MUKIM PENGERANG

admin
Mac 22, 2021

YBhg. Puan Hajah Hazlina Binti Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi telah menyempurnakan penyerahan Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor bagi Fasa 2 dan Fasa 3 bulan Mac tahun 2021.

Pada lawatan tersebut, Pegawai Daerah menyantuni enam (6) orang penerima tersebut serta menyampaikan sumbangan wang tunai RM 1,000.00 Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor beserta bantuan bekalan makanan kepada setiap keluarga penerima.

1. Penerima pertama adalah seorang warga emas dari Kampung Sedili Kecil yang menghidap penyakit jantung dan stroke. Beliau terlantar sejak enam (6) bulan yang lalu akibat daripada terjatuh di rumahnya. Beliau tidak berkerja, tidak mempunyai pendapatan serta menanggung seorang isteri yang tidak berkerja.

2. Penerima kedua adalah seorang warga emas dari Kampung Belukar Durian, Mukim Sedili Kecil yang mempunyai penyakit urat saraf, tidak mampu berjalan dan mempunyai suami yang berkerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

3. Penerima ketiga merupakan seorang wanita dari Kampung Sedili Kecil yang mempunyai penyakit urat saraf dan lumpuh separuh badan. Beliau hanya mampu menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Beliau tidak berkerja dan suaminya pekerja kilang yang mempunyai hasil pendapatan yang sedikit dan tidak mampu untuk membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan.

4. Penerima keempat dari Kampung Bukit Raja, Sungai Rengit, Mukim Pantai Timur merupakan seorang warga emas yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau penerima JKM, tidak berkerja dan menanggung seorang anak Kelainan Upaya (OKU)

5. Penerima kelima merupakan seorang ibu tunggal yang tinggal di Kampung Bukit Raja, Sungai Rengit, Mukim Pantai Timur. Beliau menghidapi penyakit urat saraf yang mengakibatkannya tidak kuat berjalan dan memerlukan tongkat. Beliau tidak berkerja dan hanya mengharapkan bantuan daripada JKM selain daripada turut menanggung seorang adik Orang Kelainan Upaya (OKU).

6. Penerima keenam merupakan seorang ibu tunggal daripada kaum cina yang tinggal sebatang kara di Kampung Pasir Gogok Pengerang. Beliau menghidap penyakit Alzheimer, darah tinggi serta penyakit tulang belakang. Beliau mengharapkan bantuan daripada jiran untuk menguruskan kehidupan seharian.

Keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor dalam membantu insan yang dalam kesusahan, dilanda musibah, menghidapi penyakit kronik, kemiskinan, dan lain-lain dengan mengurniakan pelbagai bantuan merupakan bukti bahawa baginda seorang raja yang berjiwa rakyat dan amat memahami denyut nadi rakyat.

Menjunjung Setinggi-Tinggi Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor atas kurniaan serta terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang turut sama menjayakan penyampaian ini.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.