PROGRAM ZIARAH SEMPENA PENYAMPAIAN SUMBANGAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BAGI BULAN APRIL FASA 5, TAHUN 2021 DAERAH JOHOR BAHRU
By admin
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Pegawai Daerah Johor Bahru telah menyampaikan Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor serta Ziarah Kasih kepada tiga buah keluarga yang kurang bernasib baik.
Beliau menyampaikan kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor bagi bulan April Fasa 5 tahun 2021.
Turut mengiringi beliau Amin Baitulmal Daerah Johor Bahru, wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Penghulu Tinggi, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.
1. Penerima pertama merupakan warga emas mengalami sakit diabetis kronik yang menyebabkan penglihatan juga menjadi kabur. Beliau terlantar di atas katil dan menggunakan lampin pakai buang. Segala urusan diri diurus oleh anak lelakinya yang bekerja sebagai mekanik. Anak lelakinya juga menanggung isteri dan 4 orang anak. Mereka ini tinggal di Kampung Mulia, Mukim Sungai Tiram.
2. Penerima kedua merupakan seorang warga emas yang telah uzur dan disahkan menghidap kanser hati. Perut beliau membengkak akibat penyakit tersebut dan memerlukan rawatan di hospital 2 kali seminggu dengan kos RM150.00 sekali rawatan. Segala urusan diri diurus oleh anak perempuannya yang tinggal bersama menantu bekerja kampung dan 3 orang cucu yang masih kecil. Beliau ada menerima bantuan dari Majlis Agama Islam sebanyak RM300.00
3. Penama ketiga merupakan ibu tunggal (bercerai dengan suami kerana suami penagih dadah dan menjalani hukuman penjara). Beliau mempunyai 7 orang anak berusia 7 tahun hingga 17 tahun yang tinggal bersendirian di rumah sewa dan mengharapkan anak sulung beliau yang tidak bersekolah untuk menguruskan 2 adik bersekolah menengah, seorang bersekolah rendah dan 3 adik yang masih kecil sepanjang ketiadaan ibunya yang bekerja sebagai operator kilang di Tebrau. Beliau tinggal menumpang di rumah abangnya di BBU ketika dalam hari bekerja. Beliau akan balik ke rumah sewanya setiap cuti hari minggu iaitu hari Ahad untuk melihat anak-anaknya. Beliau menyewa rumah tersebut dengan kadar RM400.00 sebulan.
Pegawai Daerah Johor Bahru merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas sumbangan kurniaan ini dari DYAM Tunku.