SEKOLAH TEMPAT MEMUPUK SEMANGAT PERPADUAN
By admin
Sekolah adalah tempat untuk memupuk semangat perpaduan antara rakyat Johor, bukan untuk memecahbelahkan masyarakat kita. Hari ini saya telah menerima mengadap Encik Abdul Razak bin Hamid, Pengetua SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Tuan Haji Ismail bin Abu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Hj Sahilon bin Abd Halim, Timbalan Pengarah JPN (Pemangku Pengarah JPN Johor) dan Dr Suhaimi bin Ismail, Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat.
Saya menerima makluman mengenai kejadian di SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat yang melibatkan syarat kaum untuk pendaftaran aktiviti ko-kurikulum. Saya telah bertitah kepada pengetua sekolah dan JPN Johor bahawa kejadian ini tidak patut berlaku lagi dimana-mana sekolah di negeri Johor. Tindakan ini tidak selaras dengan Bangsa Johor yang memupuk perpaduan antara kaum di bawah satu identiti untuk semua rakyat Johor. Kejadian ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor