Skip to main content

SULTAN JOHOR BIAYAI KOS PEMBINAAN SEMULA GERAI MUSNAH KEBAKARAN DI FELDA ULU TEBRAU

Admin
Mac 27, 2022

Lima peniaga yang terjejas pendapatan selepas gerai mereka di Kawasan Perniagaan Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru di sini, musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu, bersyukur dengan kurniaan bantuan DYMM Sultan Johor.

Keberangkatan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melawat kawasan kejadian pada hari ini (27 Mac) membawa sinaran baharu kepada peniaga-peniaga berkenaan.

Baginda Tuanku Sultan yang meluangkan hampir 30 minit bertemu mangsa-mangsa kebakaran, bertitah bahawa kos pembinaan semula gerai-gerai yang terjejas akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Titah Baginda disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh peniaga-peniaga yang terjejas serta penduduk setempat.

DYMM Sultan Johor turut menitahkan wakil Baginda, Mejar Cina Dato’ David Wong untuk melawat lokasi kejadian serta menilai beberapa perkara bagi memulakan pembinaan semula gerai dengan segera.

“Gerai-gerai ini merupakan tempat mereka mencari rezeki demi keluarga masing-masing. Saya akan biayai sepenuhnya kos pembinaan semula gerai.

“Saya sendiri akan buat rekabentuk gerai di mana, amat selesa jika dilengkapi dengan tandas dan dapur serta pendawaian elektrik yang selamat,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, peniaga makanan char kway teow, Mohd Razif Amat, berkata beliau mula berniaga sejak 2014 dan ketika kejadian dia berada di rumahnya.

“Gerai ini saya sewa bersama Pertubuhan Peneroka Rancangan (PPR), namun amat sedih apabila ia musnah dalam kebakaran.

“Saya langsung tidak sangka keberangkatan DYMM Sultan Johor pada hari ini akan membawa satu khabar baik serta rezeki buat kami semua yang terjejas.

“Terima Kasih Tuanku. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih. Moga Tuanku Sultan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan panjang umur,” katanya.

Kejadian melibatkan tiga kedai makan, dan masing-masing sebuah kedai menjual peralatan tulis serta kedai basikal.

#sultanjohor

#royalpressoffice

#johor

Kredit artikel https://www.facebook.com/100044238919228/posts/527606535390639/?d=n

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.