Skip to main content

TERIMA MENGADAP MENTERI BESAR JOHOR, SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR DAN PEGAWAI KEWANGAN NEGERI JOHOR

Admin
Jun 11, 2024

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Haji Abd Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor pada hari ini, 11 Jun 2024.

Hadir sama adalah YB Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dr. Haji Amirul Haffiz Ariff, Setiausaha Bahagian Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, YBhg. Dato’ Shahrol Anuwar bin Sarman, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

Dalam pertemuan ini, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sg Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru.

Turut dibincangkan adalah projek khas berimpak tinggi negeri Johor iaitu cadangan pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru.

Projek-projek ini selaras dengan keutamaan Pemangku Sultan Johor untuk membangunkan infrastruktur, memperbaiki kemudahan rakyat dan meningkatkan ekonomi Negeri Johor. Allah Peliharakan Sultan.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.