Skip to main content

TIADA BANGSA JOHOR YANG TERPAKSA BERLAPAR

admin
Jun 27, 2021

Ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Saya sedih mendengar berita ramai rakyat yang tertekan akibat kehilangan pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat pandemik ini. Ia benar-benar telah menduga rakyat Johor secara keseluruhan.

Saya berharap tiada Bangsa Johor yang terpaksa berlapar kerana ketiadaan makanan di rumah sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Oleh itu, saya menitahkan supaya para belia Johor melalui platform Southern Volunteers untuk membantu kerajaan negeri menggerakkan bantuan untuk disalurkan kepada rakyat Johor yang sangat terkesan sekarang ini. Bantuan ini harus diberikan secepat mungkin.

Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad telah mengumumkan satu peruntukan yang besar untuk membantu rakyat tempoh hari. Tahniah saya ucapkan.

Saya percaya dengan muafakat Kepimpinan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar, Yang Dipertua, Penghulu, Ketua Kampung dan belia Johor, kita mampu membantu rakyat secara lebih efektif dan berkesan.

Sama-samalah kita menggembeleng tenaga dan kudrat untuk membantu golongan yang sangat memerlukan bantuan pada ketika ini. Allah Peliharakan Sultan

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.