TITAH PEMANGKU SULTAN JOHOR BERHUBUNG LATIHAN DAN EKSESAIS KETENTERAAN ANGGOTA TENTERA MALAYSIA
By Admin
Saya berdiri teguh bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sokongan saya yang tidak berbelah bahagi akan sentiasa bersama anggota tentera negara dalam apa jua keadaan.
Berhubung latihan dan eksesais ketenteraan, ATM mempunyai ruang, kuasa serta kerjasama yang sewajarnya untuk melaksanakan sebarang bentuk latihan di negeri Johor. Latihan sedemikian amat penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran yang diperlukan bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Institusi DiRaja Johor dan Kerajaan Negeri Johor akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha ini.
Segala pengorbanan, dedikasi dan khidmat yang dicurahkan oleh anggota ATM dalam mempertahankan negara hendaklah sentiasa dihormati dan dihargai. Anggota tentera tidak seharusnya berdepan halangan yang tidak perlu dalam melaksanakan latihan serta eksesais operasi yang amat penting demi pertahanan dan kesiapsiagaan negara. Tidak sepatutnya juga wujud sebarang layanan berat sebelah terhadap mana-mana unit atau rejimen tertentu kerana setiap individu yang menyarung uniform berkhidmat dengan penuh kehormatan, kesetiaan dan pengorbanan, serta layak menerima penghormatan dan pengiktirafan setinggi-tingginya.
Sokongan saya bukan sahaja terhad kepada mereka yang masih berkhidmat, malah turut meliputi anggota tentera yang telah bersara atau bakal bersara. Pintu Johor akan sentiasa terbuka buat mereka sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan dan jasa yang tidak ternilai kepada negara.
Amat mendukacitakan apabila terdapat pihak tertentu yang cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau sekadar untuk meraih perhatian dan populariti di media sosial. Sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara sedemikian, seseorang itu seharusnya memahami terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan termasuk perbezaan antara Negeri Bersekutu dan Negeri Tidak Bersekutu. Kefahaman yang cetek mengenai perkhidmatan ketenteraan dan perkara berkaitan Perlembagaan hanya mencerminkan kegagalan untuk benar-benar memahami pengorbanan, disiplin, tanggungjawab dan realiti yang dihadapi oleh anggota ATM.
Adalah juga amat malang apabila kebimbangan hanya dibangkitkan secara terpilih terhadap latihan ketenteraan, sedangkan terdapat pelbagai lagi isu penting melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menerima perhatian dan keutamaan yang jauh lebih rendah.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor
