Skip to main content

YANG DI-PERTUAN AGONG DIBERI SAMBUTAN SEMPENA LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI

Admin
November 05, 2025

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Istana Yamamah, Riyadh bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan Saudi (6.30 petang waktu Malaysia) disambut penuh mesra Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan sebagai tanda penghormatan sebelum Seri Paduka Baginda dengan diiringi Putera Mohammed bin Salman berjalan masuk ke istana melintasi kawalan kehormatan.

Seusai Istiadat Sambutan Negara selesai, berlangsung pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed bin Salman.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

Turut hadir, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring; Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, dan Dato’ Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.

Putera Mohammed bin Salman turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam majlis santapan negara bersama tetamu-tetamu kehormat.

Seri Paduka Baginda, bertitah pertemuan bersama Putera Mohammed bin Salman berlangsung dalam suasana penuh mesra dan menyentuh pelbagai perkara.

“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.

“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.

“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Yang di-Pertuan Agong turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, sebuah usaha membangunkan negara Tanah Suci itu ke tahap yang lebih baik dengan kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat, serta penyediaan persekitaran yang rancak buat pelabur.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.