Skip to main content

KESIHATAN, KESELAMATAN, KEUTAMAAN MASA DEPAN, KATA TMJ

admin
November 15, 2020

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke luar negara bagi menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Zon Timur di Doha, Qatar adalah demi kepentingan dan kebajikan seluruh rakyat Malaysia, kata pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, walaupun sukar untuk menerima keputusan itu, termasuk pembatalan Piala Malaysia 2020, yang merupakan kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara, jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat bermakna situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup sekiranya berterusan.

“Tidak ada yang dapat terlepas daripada ancaman Covid-19. Sebagai contoh pemain bintang Mesir, Mohamad Salah juga telah disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Ia boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kita tidak boleh mengambil sebarang risiko,” katanya dalam catatan di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

Saingan Liga Juara-Juara AFC 2020 dijadualkan berlangsung dari 18 November hingga 13 Disember, dengan JDT sebagai juara Liga Super 2020 meneruskan kempen mereka dalam Kumpulan G.

“Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards telah menyatakan kekecewaan kelab kerana musim 2020 berakhir begitu sahaja, tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan dan memahami bahawa kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah penting demi masa depan negara kita,” kata TMJ.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengesahkan bahawa JDT tidak dibenarkan ke luar negara berikutan keputusan kerajaan untuk menutup sempadan negara sementara Majlis Keselamatan Negara (MKN) membatalkan Piala Malaysia 2020 setelah memutuskan sukan itu melibatkan sentuhan fizikal yang akan membawa risiko kesihatan bagi pemain. – Bernama

Sumber (Diterjemahkan) : Malay Mail

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.