KUNJUNG HORMAT PEGAWAI DAERAH KE MASJID NUR IMAN PARIT BUGIS DAN ZIARAH KASIH PENYERAHAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR
By admin
Kunjung hormat YBhg Tuan Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Pegawai Daerah Muar ke Masjid Nur Iman Parit Bugis, Mukim Sungai Balang. Turut hadir Assheikh Tuan Haji Mohamad Khalil bin Md Nor, Kadi Daerah Muar dan Penghulu Mukim.
Pegawai Daerah menggesa agar Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid perlu memainkan peranan dalam memperkasa permuafakatan komuniti dengan pendekatan dakwah Bil Hal dan ambil peduli rakyat melalui program ziarah rumah ke rumah. Sesuai dengan kapasiti institusi masjid untuk memperkukuhkan amalan agama sebagai benteng terhadap fahaman yang terpesong dan tidak selaras dengan aqidah ahli sunnah wal jamaah. Wasilah ini juga berupaya untuk mencegah pelbagai isu sosial seperti penagihan bahan terlarang, masalah remaja, gejala ponteng sekolah, keruntuhan institusi keluarga dan seumpamanya.
Usai Solat Jumaat, bersempena Memperingati Hari Antidadah Kebangsaan 2021, Pegawai Daerah menyantuni tiga buah keluarga di Sungai Gersik Laut, Parit Muhammad, Bakri dan Sabak Awor yang berjaya mendepani dan bangkit daripada isu penyalahgunaan dadah.
Pegawai Daerah menyerahkan Kurniaan RM1,000 oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kepada setiap keluarga tersebut bagi keperluan dikala terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kurniaan ini menunjukkan keprihatinan tinggi DYAM Tunku Mahkota Johor kepada Bangsa Johor yang terjejas untuk terus bangkit berjaya dalam kehidupan.
Menjunjung setinggi-tinggi kasih DYAM Tunku atas kurniaan tersebut.