LAWATAN KE PUSAT TEMUDUGA KANAK-KANAK (CIC)

Admin

By Admin

Mei 17, 2022

Pada hari ini, saya telah melawat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru bersama YAM Che’ Puan Besar Khaleeda.

Istana Johor dan Kerajaan Negeri Johor akan memberikan sumbangan untuk menambahbaik CIC ini, memperkasakan kekuatan pasukan polis D11 dan untuk menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar dan di Iskandar Puteri bagi melancarkan usaha PDRM menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak di Johor.

Saya juga ingin menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk bekerjasama dengan PDRM, JKM dan dengan garis panduan daripada UNICEF untuk melaksanakan pelbagai usaha untuk menambahbaik SOP dan prosedur yang ada serta meningkatkan kesedaran awam.

Saya secara tegas berpandangan apa jua bentuk penderaan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan. Menjadi tanggungjawab semua bangsa Johor untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di negeri ini.

Turut serta dalam lawatan itu adalah YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor serta YDH CP Dato’ Kamarul Zaman Bin Mamat, Ketua Polis Johor.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Tunku Mahkota Johor. Hakcipta Terpelihara.