Skip to main content

MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL ORANG MUDA JOHOR (OMJ FEST) 2021

Admin
November 20, 2021

Pada pagi ini, saya telah menyempurnakan majlis perasmian Festival Orang Muda Johor (OMJ Fest) 2021 peringkat negeri di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru. Turut hadir bersama YAB Dato’ Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan, EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan, YB Datuk Mohd Izhar bin Ahmad EXCO Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, YB Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, dan YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.

OMJ Fest 2021 akan berlangsung bermula hari ini sehingga 26 Disember 2021 dan bakal menganjurkan lebih 80 program dan aktiviti dalam pelbagai kategori, seperti Sukan & Kecergasan, Kemahiran & Keusahawanan, Kreatif & Kesenian, Pendidikan & Kepimpinan serta Keagamaan. Lebih 100 ribu belia dijangka akan mendapat manfaat daripada OMJ Fest 2021 yang boleh dijadikan medan mencungkil bakat menerusi anjuran pertandingan-pertandingan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri dan daerah serta pihak swasta.

Saya juga telah melawat pusat operasi Special Task Force Covid-19 Johor di TMIYC bagi tujuan meninjau perkembangan semasa situasi Covid-19 di Johor. Semenjak pembentukan jawatankuasa khas ini pada bulan September, Johor telah berjaya menurunkan bilangan kes positif secara progresif. Saya berharap semua agensi kerajaan, swasta, dan para sukarelawan akan terus berkerjasama untuk membantu memerangi wabak Covid-19.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.