MEMBALAS DAKWAAN PROJEK FOREST CITY MERUPAKAN PROJEK YANG GAGAL
By Admin
Saya ingin membalas dakwaan yang viral di media sosial yang menyatakan bahawa projek Forest City merupakan projek yang gagal. Ini adalah tidak benar dan merupakan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.
Forest City merupakan sebuah projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan. Projek ini sudah pun menyumbang pendapatan sebanyak RM630 juta kepada kerajaan negeri Johor dalam bentuk bayaran cukai, dividen, dan sebagainya. Projek ini juga telah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan dan menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat kontraktor tempatan.
Ini secara langsung telah membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang. Pada akhir bulan lepas, Forest City juga telah menerima anugerah Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA). Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya.
Cabaran juga dihadapi dengan wabak Covid-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia. Situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga telah menyebabkan kadar penjualan yang kurang. Juga perlu diingatkan bahawa dasar Kerajaan Persekutuan yang tidak konsisten turut menyebabkan keyakinan pelabur terhadap negara kita terjejas.
Saya berharap dengan polisi yang lebih stabil pada masa akan datang dan apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke negara ini dan melabur disini.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor