Skip to main content

PENYAMPAIAN KURNIAAN TUNKU MAHKOTA JOHOR

admin
Oktober 19, 2020

Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Mohd Radzi Bin Haji Mohd Amin telah menyerahkan penyampaian sumbangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) kepada tiga penerima masing-masing dari Mukim Kulai, Mukim Senai dan Mukim Sedenak petang tadi.

Penerima pertama ialah seorang ibu tunggal, Puan Zuraibi Binti Alias, 49 tahun dari Taman Gunung Pulai, Mukim Kulai yang menghidap penyakit strok, kencing manis dan tulang pinggul yang kecil sebelah selain terpaksa menggunakan kerusi roda.

Penerima kedua pula ialah Puan Yusmawati Binti Yusop, 41 tahun yang tinggal menumpang di rumah keluarganya di Jalan Tan Yoke Fong, Mukim Kulai selepas mengalami masalah keluarga.

Penerima ketiga ialah Encik Mohd Hasnor Bin Ahmad, 70 tahun dari Felda Inas, Mukim Sedenak yang menghidap penyakit strok pada bulan Julai yang lalu selain mengharapkan bantuan isteri dan anak-anaknya untuk menguruskan diri.

Turut serta dalam penyerahan sumbangan ini ialah wakil Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Johor Daerah Kulai, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, wakil Yayasan Sejahtera, Pegawai KEMAS Daerah Kulai, Pegawai Tadbir Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Penghulu Kanan, Penghulu-Penghulu Mukim serta Ketua-Ketua Kampung yang terlibat.

Kami berharap sumbangan DYAM TMJ ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh tiga keluarga penerima ini.

MENJUNJUNG KASIH TUNKU

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.