Skip to main content

PERCEPATKAN LAGI PELAKSANAAN INISIATIF MELAWAN PANDEMIK COVID-19

admin
Julai 04, 2021

Saya telah berjumpa dengan YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan, dan YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor pada hari ini (4 Julai 2021). Dalam perjumpaan tersebut saya telah menitahkan agar kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal.

Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukan jumlah kes harian yang tinggi. Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk. Di samping itu, masalah sosioekonomi juga tertimbul akibat situasi ini yang berpanjangan. Saya berpendapat bahawa SOP patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih. Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan.

Penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang dan digunakan secara meluas khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas. Rakyat juga patut disaringkan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.

Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperolehi vaksin secara pembelian terus. Dengan ini, saya berharap kita akan berjaya mengatasi pandemik ini. Allah Peliharakan Sultan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.