PERJUMPAAN DENGAN GURU YANG MENOLAK VAKSIN COVID-19
By admin
Hari ini saya telah berjumpa para guru yang belum divaksinasi di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama dengan YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Johor (secara maya) dan Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor.
Saya telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi. Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin. Yang bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin.
Dalam perjumpaan ini juga, saya telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di negeri Johor dan situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri Johor.
Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor