Skip to main content

PERMOHONAN PEMBERIAN STATUS WARGANEGARA OLEH KDN LALUI PROSES SANGAT TELITI – SAIFUDDIN

Admin
September 27, 2025

Setiap permohonan berkaitan pemberian status kewarganegaraan yang diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui proses yang sangat teliti.
Mengulas isu tujuh pemain Harimau Malaya yang dikenakan tindakan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata di peringkat kementerian, segala tindakan yang perlu dalam proses pemberian dokumen itu adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya, pemberian status warganegara secara naturalisasi adalah di bawah Perkara 19 iaitu membabitkan pemohon yang mempunyai salasilah, keturunan atau memiliki pasangan yang berasal dari negara ini.

“Sejumlah pemain (Harimau Malaya) yang mendapat status kewarganegaraan dan sudah tentulah itu di bawah KDN.

“Proses pemberian (status) warganegara ini satu proses yang sangat teliti. Kesemua dokumen dikemukakan perlu verifikasi.. kita ambil biometrik, temubual, sebab itu ambil masa begitu lama.

“Kita (sudah) melakukan proses mengikut peraturan tertib dan peruntukan undang-undang,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Program RON95 (BUDI95) di sebuah stesen minyak sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekuuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memakluman FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata terpulang kepada FIFA untuk mengambil keputusan berkenaan kerana ia adalah urusan FIFA dengan FAM.
“Jadi itu (pemberian status kewarganegaraan) bahagian kami. Soal FIFA mengambil keputusan itu, itu urusan FIFA dengan FAM. Cuma urusan (status) warganegara, kita lakukan semakan,” katanya.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.