Skip to main content

PROGRAM ZIARAH PRIHATIN SEMPENA PENYERAHAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BAGI BULAN DISEMBER FASA 1 TAHUN 2021 DAERAH BATU PAHAT

Admin
Disember 13, 2021

Pada hari ini Tuan Haji Ahmad Nazri bin Rebu, Ketua Penolong Pegawai Daerah selaku wakil rasmi YBhg. Tuan Pegawai Daerah Batu Pahat menyempurnakan Program Ziarah Prihatin Sempena Penyerahan Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor bagi Bulan Disember Fasa 1 Tahun 2021. Penyerahan melibatkan sebuah keluarga di Mukim Tanjung Sembrong dan beberapa buah keluarga di Mukim Chaah Bahru.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah; Ketua Penghulu; Penghulu Mukim Tanjung Sembrong dan Chaah Bahru; Pegawai Perkampungan Cina serta Ketua Kampung terlibat.

Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor merupakan inisiatif Baginda yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta berterusan membantu dalam meringankan beban kepada golongan sasaran iaitu mereka yang dhaif, golongan asnaf, serta terpaksa menghadapi cabaran hidup yang getir seperti penyakit, kemiskinan, tiada pekerjaan dan sebagainya.

Pendekatan Ziarah Prihatin ini juga merupakan kesinambungan kepada salah satu titik fokus Pejabat Daerah Batu Pahat iaitu ‘PRIHATIN’ ke atas keluh-kesah masyarakat lebih-lebih lagi ketika mendepani era pandemik Covid-19 pada masa kini. Gerak usaha ini berperanan sebagai satu langkah proaktif dan akan diteruskan sepanjang tahun bagi membantu pihak yang memerlukan dari semasa ke semasa.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.