Skip to main content

PROGRAM ZIARAH PRIHATIN SEMPENA PENYERAHAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BAGI BULAN JULAI FASA 2, TAHUN 2021 DAERAH BATU PAHAT

admin
Ogos 08, 2021

Tuan Haji Ahmad Nazri bin Rebu, Ketua Penolong Pegawai Daerah mewakili Tuan Pegawai Daerah Batu Pahat telah hadir menyempurnakan Program Ziarah Prihatin Sempena Penyerahan Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor bagi Bulan Julai Fasa 2 Tahun 2021 yang telah melibatkan beberapa keluarga di Mukim Simpang Kanan dan Mukim Kampung Bahru.

Turut hadir, wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Batu Pahat; wakil Amin Baitulmal MAINJ Daerah Batu Pahat; Penolong Pegawai Daerah; Penghulu Mukim Simpang Kanan; Pegawai Perhubungan Masyarakat India; Pegawai Kemajuan Perkampungan Cina; dan Ketua-Ketua Kampung terlibat.

Kurniaan DYAM Tunku Mahkota Johor merupakan inisiatif Baginda yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta berterusan membantu dalam meringankan beban kepada golongan sasaran iaitu mereka yang dhaif, golongan asnaf, serta terpaksa menghadapi cabaran hidup yang getir seperti penyakit, kemiskinan, tiada pekerjaan dan sebagainya.

Pendekatan Ziarah Prihatin ini juga merupakan kesinambungan kepada salah satu titik fokus Pejabat Daerah Batu Pahat iaitu ‘PRIHATIN’  ke atas keluh-kesah masyarakat lebih-lebih lagi ketika mendepani era pandemik Covid-19 pada masa kini. Gerak usaha ini berperanan sebagai satu langkah proaktif dan akan diteruskan sepanjang tahun bagi membantu pihak yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Menjunjung Setinggi-Tinggi Kasih atas keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang turut sama menjayakan program ini.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.