SOUTHERN VOLUNTEERS MEMBANTU PELAKSANAAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN (UNIT VAKSINASI BERGERAK) DAERAH BATU PAHAT
By admin
Unit Vaksinasi Bergerak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Daerah Batu Pahat di Sekolah Kebangsaan Seri Perpat, Mukim Sungai Punggor, Rengit dilaksanakan dengan penglibatan petugas sukarelawan yang terdiri daripada ahli Southern Volunteers yang telah sama-sama menyumbang tenaga dalam membantu pelaksanaannya.
Pada kali ini, Pusat Pemberian Vaksin Bergerak tersebut menerima kehadiran masyarakat yang terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas, individu yang menghidapi penyakit kronik serta Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Penglibatan Sukarelawan Southern Volunteers bukan sahaja membantu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Unit Vaksinasi Bergerak, malah turut menyumbang tenaga penugasan di Bilik Gerakan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah serta menjadi Penggerak Sukarelawan pendaftaran vaksin ke seluruh mukim bagi membantu meningkatkan lagi kesedaran orang ramai untuk mendaftar vaksin.
Southern Volunteers yang diilhamkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor mensasarkan golongan belia untuk bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan untuk memberi khidmat kepada rakyat dan Negeri Johor amnya.