Skip to main content

LAWATAN KE PUSAT PENYIMPANAN VAKSIN, HOSPITAL PERMAI JOHOR BAHRU

admin
Julai 14, 2021

Saya telah melawat Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Permai, Johor Bahru pada hari ini (Rabu, 14 Julai 2021) untuk memeriksa proses pengedaran vaksin Covid-19 ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di Johor. Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan YB Vidyananthan A/L Ramanadhan, EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan, dan YB Dato’ Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor.

Saya telah menitahkan agar program vaksinasi di semua daerah di Johor diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin. Pada masa yang sama, saya telah menasihati agar proses logistik pengedaran vaksin ke PPV dipercepatkan dan supaya bekalan vaksin di PPV sentiasa mencukupi. Bilangan lokasi PPV dan pegawai-pegawai perubatan juga patut ditambah bagi meliputi seluruh negeri Johor.

Saya juga sempat menyaksikan penerimaan bekalan vaksin Pfizer yang akan diedarkan ke PPV dalam masa terdekat. Sukacita ingin saya maklumkan bahawa sebanyak 83% Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin. Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin. Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan Malaysia kerana telah memberi Kerjasama untuk mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan anda semua dalam menyelamatkan nyawa rakyat. Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati para barisan hadapan. Allah Peliharakan Sultan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.