Skip to main content

LAWATAN RASMI DULI YANG AMAT MULIA MEJAR JENERAL TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, TUNKU MAHKOTA JOHOR KE SINGAPURA DARI 10 HINGGA 12 JULAI

Admin
Julai 10, 2023

Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan melakukan lawatan rasmi ke Singapura dari 10 hingga 12 Julai 2023 atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan. Baginda akan ditemani Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam, serta pegawai istana dan pemimpin negeri Johor.

Dalam lawatan ini, Perdana Menteri Singapura, Dato’ Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Ho Ching akan menjadi tuan rumah kepada Baginda dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda untuk sesi minum teh, manakala Menteri Ehwal Luar, Dr. Vivian Balakrishnan dan isterinya akan menjadi hos bagi jamuan makan malam sebagai memberi penghormatan kepada pasangan diraja. Baginda juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor juga akan diiringi oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura, Zaqy Mohamad dalam lawatan ke Kem Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) manakala Menteri Negara (Pendidikan), Gan Siow Huang akan mengiringi Baginda mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian.

Baginda akan turut diiringi oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong bagi menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dan Persatuan Bola Sepak Singapura yang melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak termasuk pembentukan kejohanan acara bola sepak tahunan antara pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura mulai 2024.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.