MAJLIS BELIA DAERAH JOHOR BAHRU MENYOKONG KENYATAAN MBNJ
By admin
Majlis Belia Daerah Johor Bahru Menyokong kenyataan MBNJ
Kalau ada SUMUR di ladang
Boleh kita menumpang Mandi
Kalau Ada Umur Yang Panjang
MBNJ DAN MBD Bertemu Lagi
Kenyataan Media
Majlis Belia Negeri Johor
3 November 2018
1. Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Ismail Ibn Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor(TMJ) atas perkenan baginda mencemar duli bersama sama mengurniakan sumbangan peralatan mandian dan kit kesihatan kepada gelandangan di Johor Bahru semalam.
2. Kurniaan sumbangan diberikan kepada golongan gelandangan setelah MBNJ mengadakan Program Sukarelawan Anak Muda Johor (SUMUR 2.0 SANTUNI GELANDANGAN) di hadapan bekas Stesen Keretapi Johor Bahru.
3. Di dalam program tersebut, MBNJ meraikan 112 orang gelandangan yang berkesempatan hadir dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan, pemberian pakaian terpakai, cabutan bertuah dan persembahan beberapa artis seperti Malik Zabarjad dan Arif Kilauan Emas.
4. SUMUR 2.0 merupakan sebahagian daripada aktiviti yang melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada belia berpersatuan di seluruh negeri Johor untuk bersama masyarakat menangani isu isu setempat. MBNJ amat tidak menyangka dan terkejut kerana setelah program tamat, tiba-tiba kami mendapati DYAM TMJ turun daripada kereta dan terus menuju ke arah gologan gelandangan yang telah mengambil tempat di tempat yang biasa mereka tidur.
5. Ini bukan kali pertama DYAM TMJ turut bersama turun padang, malah baginda juga turut bersama MBNJ ketika Program SUMUR di Surau Nurul Falah Sri Stulang Johor Bahru.
6. Sebagai penaung MBNJ, DYAM TMJ seringkali menasihatkan kepimpinan belia agar sentiasa peka dengan masyarakat sekeliling dan melontarkan pandangan yang boleh mensejahterakan rakyat supaya pihak pihak tertentu boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.
7. Atas keinsafan itu, ditambah dengan kurniaan sumbangan dana DYAM TMJ kepada MBNJ baru baru ini, MBNJ telah merangka bersama badan gabungan di daerah untuk melaksanakan Program DYAM TMJ BERSAMA ANAK MUDA BANGSA JOHOR (TEMASHOR) bagi membolehkan sukarelawan belia di negeri Johor melaksanakan program bersama rakyat secara muafakat.
8. Program yang di rancang ini akan dilaksanakan selama dua (2) bulan ini akan diadakan di setiap daerah, di samping akan menyantuni kelompok masyarakat yang tertentu.
9. MBNJ berharap agar seluruh belia di negeri Johor akan bersiapsiaga untuk bersama menyokong segala usaha yang akan dilakukan.
Md. Salleheen bin Mohamad
Presiden