PERTINGKATKAN LAGI KADAR VAKSINASI DI JOHOR
By admin
Saya benar-benar memahami tentang rungutan rakyat Johor mengenai kadar vaksinasi di negeri ini yang perlahan. Ia perlu segera dipercepatkan untuk memastikan kita dapat mencapai imuniti kelompok dan membolehkan ekonomi Johor kembali pulih dengan cepat.
Saya telah diberitahu oleh YB Khairy Jamaluddin dan pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bahawa Johor telah menerima 165,000 dos vaksin pada hari ini untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 695,370 dos untuk bulan Julai. Johor sepatutnya menerima 1.293 juta dos untuk bulan Julai tetapi terdapat kelewatan dari Pfizer dan Sinovac. Walaubagaimanapun, sebanyak 570,000 dos dijangka akan tiba pada 29 Julai.
Saya telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa mereka boleh memberi sehingga 60,000 dos vaksin sehari tetapi purata kadar pemberian kini adalah lebih kurang 30,000 sehari pada minggu yang lepas. Sebab utama adalah kerana ketersediaan vaksin.
Saya telah menitahkan kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terlibat untuk segera mencari kaedah untuk mempertingkatkan lagi kadar vaksinasi termasuk mendapatkan vaksin secara langsung.
Bangsa Johor telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam aktiviti pendaftaran vaksin dengan 91% populasi dewasa telah mendaftar. Ini juga telah dibantu oleh inisiatif Southern Volunteers yang telah membantu lebih dari setengah juta Bangsa Johor untuk mendaftar.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor