Skip to main content

PROGRAM ZIARAH SEMPENA PENYAMPAIAN SUMBANGAN KURNIAAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BAGI BULAN MEI FASA 2, TAHUN 2021 DAERAH JOHOR BAHRU

admin
Mei 24, 2021

1. Penerima pertama merupakan seorang suri rumah berumur 37 tahun yang menghidapi sakit kronik kencing manis semenjak dari sebelum berkahwin lagi. Beliau juga menghidap penyakit paru-paru berair dan lemah jantung dari tahun 2019. Pada tahun 2020, kaki kiri beliau terpaksa dipotong sehingga ke paras peha akibat dari kencing manis kronik yang dialami. Pergerakan dan pengurusan diri terpaksa dibantu oleh suami yang berniaga sambilan atas talian dari rumah dengan menjual simkad telefon dan makanan ringan (paru rangup) serta menanggung 2 orang anak yang berusia 7 dan 9 tahun. Pernah memohon bantuan PERKESO tetapi ditolak atas sebab caruman yang tidak mencukupi. Penerima ini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah setiap bulan dan ada menerima Bantuan Kanak-Kanak dari JKM sebanyak RM300 sebulan. Selain itu, adik beradik beliau turut meyumbang dari segi kewangan dengan anggaran sebanyak RM600 sebulan bagi meringankan beban. Mereka ini mendiami di rumah pusaka peninggalan keluarga suami.

2. Penerima kedua berumur 26 tahun pernah mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2015 menyebabkan patah 3 tulang kaki kiri sehingga ke pinggang. Kesan dari kemalangan tersebut, beliau tidak boleh duduk atau berdiri terlalu lama sehingga ke hari ini dan menyebabkan beliau tidak boleh bekerja. Segala pengurusan diri diurus sepenuhnya oleh ibu beliau yang juga mengalami masalah kesihatan seperti strok, kencing manis, darah tinggi dan baru menjalani pembedahan membuang selaput mata dan pemasangan kanta mata. Ayahnya pula seorang pesara juga mengalami masalah kesihatan iaitu Alzheimer dan prostat. Penerima ini menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 setiap bulan.

3. Penerima ketiga pula merupakan seorang OKU terlantar yang mengalami sakit Celebral Palsy dan Hydrocephalus sejak kecil. Satu dari saluran otaknya tersumbat dan pernah menjalani pembedahan ketika usia 2 bulan bagi mengelakkan dari kepala membesar. Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, segala keperluan diri diurus sepenuhnya oleh ibunya yang tidak bekerja. Beliau juga perlu minum susu khas melalui tiub dan menggunakan lampin pakai buang yang menelan kos sehingga RM1500 setiap bulan. Ayahnya seorang pesara dan terpaksa menggunakan sepenuhnya wang pencen setiap bulan bagi pembelian susu dan lampin selain dari menyara serta menanggung keperluan keluarga tersebut. Penerima ini turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 setiap bulan.

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Pegawai Daerah Johor Bahru telah menyempurnakan penyerahan kurniaan kepada ketiga-tiga penama.

Beliau turut diiringi Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Penghulu Tinggi, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.

© DYAM Pemangku Sultan Johor. Hakcipta Terpelihara.